takdir cinta : dina najat
Tajuk : Takdir Cinta
Penulis : Dina Najat
Penerbit : nylea publishing
Suraya – “Ingin aku hadiahkan hatiku untukmu namun apa dayaku. Kemiskinan memaksa aku memperdagangkan sebuah kebebasan lantas ditelan ketentuan bahawa dialah teman hidupku. Jikalau ini dikatakan pengorbanan, aku rela…demi seorang ibu yang telah lama menderita!”
Zafran Amir – “Sejak minggu orientasi itu, kau tak mudah dilupa. Puas dibuang namamu jauh-jauh namun segalanya sia-sia. Sayangnya, fitnah dan dendam seakan meranap segala. Biarku lelah memperjuangkan cinta, namun melihat kau pergi dari hati, sesekali tidak!”
Razak – “Suraya, aku tak kenal erti kalah kerana itu aku takkan mengalah. Sejak kecil kau kukenali, sebelum lelaki itu hadir. Mana mungkin kau aku lepaskan setelah harta dan maruah aku pertaruhkan. Aku bukan Zafran Amir yang terlalu hebat di matamu. Tapi percayalah…tika dan waktu akan menjadi bukti betapa aku menyayangimu.”
Dua jiwa saling merindu, namun mampukah mereka bersatu?
~ TC mengisahkan Suraya yang terpaksa mengorbankan kebebasannya, hak untuk bercinta dan berkasih saying dengan insan yang dicintai dan dikasihi demi untuk membalas budi yang telah ditaburkan oleh Pak Longnya. Pak Longnya mengambil kesempatan di atas kemiskinan keluarganya. Bantuan yang dihulurkan tidak ikhlas dan sering diungkit-ungkit. Suraya terpaksa menerima pinangan Pak Longnya untuk anaknya Razak demi untuk mencapai cita-citanya seterusnya untuk membela nasib keluarganya yang telah menderita sekian lama. Suraya terpaksa menolak cinta Zafran kerana dia sedar dia tunangan orang walaupun pada hakikatnya dia tidak rela memegang status itu. Penderitaan Suraya bertambah apabila ibunya kembali menemui Allah s.w.t dan sememangnya penderitaannya tidak pernah berakhir kerana dia difitnah oleh Razak. Razak memerangkapnya dengan mengatakan mereka berkhalwat dan secara terpaksa Suraya dinikah dengan Razak. Suraya terpaksa menerima walaupun tanpa rela. Takdir Allah tiada siapa yang boleh menghalangnya. Jodoh Suraya dan Razak terlerai akhirnya apabila Razak mati dibelasah oleh kaki pukul kerana sikapnya yang suka berhutang. Dalam diam dia bersyukur dan dia membawa diri ke KL apabila terlalu kecewa dengan sikap Mak Longnya yang menyembunyikan hal yang sebenar. Dia terlalu kecewa apabila mengetahui bahawa Mak Longnya turut bersubahat dengan Razak tentang kes khalwatnya. Apakah takdir cinta Suraya? Masihkah Zafran menyintai dan mengasihinya seperti mula dulu? Masih adakah peluang untuk mereka bersatu? ~
Ulasanku…
Penulis dan penerbit ni adalah nama-nama baru di bidang ini namun Takdir Cinta bukanlah buku pertama nylea publishing kerana nylea publishing telah pun menerbitkan beberapa buah buku lain dan telah pun diperkenalkan buat pertama kali masa pesta buku yang baru lalu (kalau tak silap saya). Watak heroin; Suraya yang digambarkan oleh penulis adalah seorang gadis yang mendengar kata dan lembut hati. Seorang yang lurus dan tidak pandai berkata tidak. Dia tidak sanggup untuk berkata tidak pada setiap permintaan ibunya. Satu sikap yang terpuji tapi tidak mustahil sikap itu boleh memakan diri. Watak hero; Zafran juga tidak mengecewakan. Digambarkan Zafran seorang yang tidak mudah putus asa namun ada ketikanya sikapnya itu goyah sikit bila berhadapan dengan fitnah. Olahan plot memang baik dan tidak sukar untuk difahami. Sekali baca kita sudah tahu apakah yang ingin disampaikan oleh penulis. Penulis juga pandai memainkan perasaan pembaca kerana ada ketikanya kita akan berasa gembira, sedih, geram dan banyak lagi la..penulis juga pandai menyusun di mana letaknya klimaks dan anti-klimaks. Syabas untuk penulis ni. Bagi yang memang minat membaca bolehla cari novel ni d kedai berhampiran. Jangan salah sangka, saya bukan buat promosi tapi just bagi cadangan..ceritanya bagus to me..pada orang lain yang membaca mungkin lain pula yang dirasanya.. 3 bintang